Pages

Semarak deru bulu tangkis

Sunday, August 05, 2012

Berpuluh tahun lepas, aku duduk dalam pangku bapak, tengok anak-anak pak Sidek berjuang untuk piala dan medal. Waktu itu aku tak faham apa. Bukannya tahu peraturan keluar masuk court. Yang aku tahu, lumba menuju mata 15 yang penuh debaran sentiasa menjadi kegemaran bapak, dan secara tidak langsung, kegemaran kami sekeluarga. Dalam empat dinding rumah kami, bersorak teriak sesama kami. kalau buka pintu, aku dapat dengar bunyi sorak pekik sayup-sayup dari rumah lain. Kita satu Malaysia gila badminton rupanya.

Tahun ini, aku duduk sendirian di depan tv 19 inci dengan aerial telinga rabbit yang kadang-kadang clear, kadang-kadang hilang siarannya. Tidak lagi di pangku bapak, tidak lagi bersorak sama sampai mak yang kerapkali lena separuh jalan selepas game bermula terkejut jaga. Tapi saat aku berdebar melihat game yang kencang kejar-kejaran, beberapa kilometer dari aku, bapak dan adik-adik turut sama berpeluh melihat Dato' Lee Chong Wei bermain tarik tali dengan komander Lin Dan. Aku dapat rasakan keterujaan yang sama. Di hadapan aku segelas kopi o kaw, mungkin sama seperti bapak. Tak mungkin ada cucur bawang sebab baru buka puasa (selalunya memang itu kegemarannya, tengok badminton perlu ada coq bawang boh ikan bilih sikit).

Berjauhan, tetapi aku dapat rasakan kami dekat. Aku bersorak sendirian, tak boleh bertukar pendapat secara langsung kerana dia tak ada medium komunikasi pantas seperti Whatsapp atau FB. Tak boleh borak di telefon sepanjang game sebab woih, mana ada orang buat macam tu. Tak konsentret lah! Tapi semangat aku tidak sedikitpun berbeza. Aku masih berdebar-debar melihat Chong Wei berjinjit tangkis di tepian net, sama seperti debar waktu Rashid bergelut menentang Ardy Wiranata dulu.Sama macam aku ingat kibas air peluh yang memercik dari rambut mohawk blonde Misbun masa dia balun smash kencang yang sekaligus sealed the deal sebagai giant killer Malaysia.

Malam ini, walaupun aku melihat kekalahan Dato' Lee Chong Wei sendirian, aku yakin bapak seperti aku, sama-sama tersenyum (walau sedih) kerana semangat adiwira badminton kita itu tak pernah menghampakan. Jika aku di rumah, mungkin aku akan tetap ber high-five dengan bapak kerana perak tetap dalam tangan Malaysia, dan kalah kali ini kalah bermaruah. Sipi-sipi, panas dan terlalu kejar mengejar jarak dekat dengan passing plays yang sungguh menduga kesabaran. Hebat, hebat.

Aku yakin, bapak sama seperti aku, mengucap tahniah dalam hati dengan niat merentas lautan, biar terkumpul bersama doa tahniah anak Malaysia lain... moga sampai auranya pada Chong Wei. Kita sama-sama berdiri memberi ucapan penghargaan tertinggi pada lelaki yang tak pernah putus asa berlawan untuk tanahairnya.

Kami bangga, Dato. Tough game but you gave your all. Biar perak diraih tangan, jalur gemilang tetap berkibaran. Hitam kuning terus mara!

No comments: