Pages

Selingkar Cinta Menjalar Di Hati Mon

Tuesday, March 04, 2008

“Mon, cepat la!” Liza merungut sambil membetulkan payung di tangan. “Setiap kali ajak kau pergi kedai mesti lembab aje jalannya. Kalau pergi kedai DVD kat simpang tu, tak sempat aku ajak kau dah terpacak depan pintu.”

Mon tersengih lebar. Memang betul, dia tidak pernah menolak kalau diajak ke kedai DVD Ah Kau. Asal ada kesempatan, pasti dia menjengah ke sana. Setiap kali gaji masuk, dialah orang pertama yang akan terpacak di depan kedai tersebut. Kalau di tengah bulan pun dia tetap ke sana. Pura-pura bertanya DVD terbaru, tanya tentang alat pandang dengar terkini, atau semata menjenguk longgokan DVD dan MP3 haram yang berkepuk di atas meja kaunter.

Sebenarnya Mon menaruh hati terhadap anak teruna Ah Kau, Ah Jim. Oh… berbunga hati Mon bila melihat Ah Jim. Kulit putih mulus, bibir merah menguntum, rambut perang berpotongan Mullet ala penyanyi pop Jepun. Kacaknya makin menjadi-jadi bila dia duduk di bangku kayu di luar kedai sambil menghisap rokok. Memang ikon cinta remaja yang dimimpikan Mon.

“Alah, apa yang ada kat kedai Pak Abu tu? Lainlah kedai Ah Kau. Ada Ah Jim,” sengih Mon bertambah lebar.

Liza menggeleng kepala. Tempias air hujan melekat di pipi gebunya. “Kau ni, kalau dibiarkan, mau gila angau kat si Ah Jim tu. Sudahlah, sampai ke tua pun kau takkan dapat si Ah Jim tu. Dia tu-”

Wajah Mon pantas mencuka. “Ah, kau dengkikan aku, kan? Tiap kali aku pergi, mesti Ah Jim borak dengan aku saja. Sebab itu kan? Korang semua memang tak boleh terima kenapa Ah Jim suka pada aku lebih dari dia sukakan korang, kan?” Mon mengangkat tinggi hidungnya.

Liza menepuk dahi. Memang susah nak bercakap dengan orang dilamun cinta.

Marah Mon semakin berapi. “Kau dan Juita sama saja. Kelmarin, bila Ah Jim bagi diskaun kat aku, cepat-cepat Juita kata yang dia pernah nampak Ah Jim dengan budak Cina berpegangan tangan di KLCC. Dua minggu lepas, masa Ah Jim payungkan aku dari hujan, kau kata dia cuma cuba buat-buat baik. Kau orang memang dengki dengan aku!”

Mon angkat kaki. Langkahnya laju menuju simpang jalan.

“Mon, nak kemana tu? Kau kan nak meneman aku. Mon!”

Liza mendengus perlahan. Birkanlah. Nak ditegur cara halus, bebal si Mon memang takkan nampak logiknya. Kalau nak diberitahu terus terang, takut mereng pula Si Mon tu nanti. Ah, biarlah. Pandai-pandailah dia.



Mon melangkah masuk ke dalam kedai Ah Kau. Bajunya yang sedikit basah dari berlari meninggalkan Liza mula dingin ditiup hembusan hawa dingin di pintu masuk.

Matanya melilau mencari Ah Jim. Petang-petang begini biasanya jejaka bermata sepet itu duduk menghisap rokok ekstra nipisnya.

“Ah, Maimon! Apa kabar? Apa DVD mau cali ini hali? Semalam sulah bili manyak meh?” tegur Ah Kau. Lelaki tua bertahi lalat hidup di dagu itu tersenyum. Jari kelingking yang tadinya gigih mengorek hidung di goyang gedik. Saling tak tumpah macam Azwan Ali dalam rancangan gossip lazernya. Geli geleman Mon dibuatnya bila terbayang Ah Kau berbaju bunga-bunga melafaz “Amboi Amboi Amboi…”

Hish, geli! Macamanalah lelaki tua hodoh ini mendapat anak sekacak Ah Jim? Sudahlah giginya banyak yang rongak, dahi sudah menjendul. Bulu ketiak bagai menjerit minta dilepaskan dari singlet Pagoda yang kian melusuh. His, memang geli.

“Er..gua ingat mau tengok-tengok dulu la Ah Kau. Er… Ah Jim mana? Gua nak tanya dia pasal DVD yang gua pesan sama dia,” tipu Mon. Mana pernah dia pesan apa-apa DVD dari Ah Jim, tapi bukannya Ah Kau tahu.

Ah Kau masih gigih mengorek harta. “Aiya, Ah Jim sulah pigi airport. Angkat dia punya kawan dali Stockholm.”

Stockholm? Bukankah tu tempat Ah Jim belajar dahulu? Ya, Mon masih ingat, Ah Jim pergi belajar di sebuah universiti berdekatan Stockholm.

Wah, meriahnya! Kawan-kawan Ah Jim semuanya kacak belaka. Beberapa bulan dahulu, kawan baik Ah Jim datang bercuti dari Shanghai. Wajah persis Aaron Kwok. Empat minggu lalu Ah Kau memperkenalkan jejaka perancis kenalan Ah Jim padanya. Luc Pierre cukup tinggi dan sasa, dengan hidung mancung yang menggegar jiwa. Nasib baiklah Luc semacam tidak faham perbualan Mon dengannya. Jika tidak, dah lama Mon tangkap cintan dengannya.

Kali ini siapa pula yang nak diperkenalkan… Mon rasa, kali ini dia akan membuat cubaan mengurat kawan Ah Jim. Mat saleh lebih best dari orang cina apa… Lagi kelas. Untung-untung boleh dia berhijrah ke Eropah. Boleh main salji, pakai baju bulu binatang macam yang JLo pakai tu! Pergi Miami macam dalam cerita CSI tu, lari-lari kat pantai dengan bikini. Tak ada siapa nak larang!

Oh, tak sabarnya Mon menanti saat dikelilingi lelaki-lelaki kacak seantero dunia! Biar jeles si Liza dan Juita! Biar terbeliak biji mata mereka!

“Gua balik dulu lah Ah Kau. Esok gua datang balik.”

Dengan mata terpejam, Ah Kau mengangguk lembut.

Esok Mon akan pastikan dia kelihatan meletop!






Mon melangkah turun dari bas kilangnya. Kemeja lusuh biru harta syarikat dilipat dan disisip ke dalam beg. Dia membetulkan baju ketat berlabucinya.

“Hoi Mon! Hoi, lai la!”

Dari jauh Mon nampak Ah Kau melambai tinggi. Kulit kendur di bawah lengan Ah Kau bergoyang mengikut irama lambaiannya.

Ah! Ah Kau panggil? Tentu Ah Jim dan kawan-kawannya menanti aku, bisik hati Mon. Ah Jim, I’m coming laling!

Tertonggek-tonggek Mon berjalan kepit ke arah kedai Ah Kau. Setapak, dua tapak, berhenti. Membetul posisi seluar tiga suku warna biru firus berenda di hujung. Setapak, dua tapak, berhenti lagi. Kali ini untuk menenyeh gincu merah jambu ke bibir.

Mekap: check. (eyeshadow biru, blusher pink, lipstik pink)
Baju: check. (ketat, kilat & Hong-Kongesque)
Aksesori: check. (cincin bentuk lef, subang biru & rantai pearl biru)
Kasut tinggi : check (platform lagi tau)
Rambut rebonding: check. (sedikit kejung tapi tak apa)


“Mon, mali, mali sini. Sulah lama Ah Jim tunggu lu latang, mau kasi lu kenal sama itu angmoh. Mali sini,” lebar betul senyuman Ah Kau.

Mon menjejak masuk ke dalam kedai Ah Kau dengan debaran. Dup dap dup dap dup dap.

Ah Kau menunding jari ke arah kaunter. “Ah, itu lia itu angmoh. Manyak baik sama gua. Lu pigi sana, kasi Ah Jim intlolius sama lu.”

Seorang mat saleh berambut perang berdiri membelakangi Mon.

Belum toleh pun aku dah tau hensem, bicara gedik hati Mon. Ni kena speaking ni.

Mon menjungkit, menyentuh lembut bahu abang mat saleh. “Hello.”

Abang Mat Saleh berpusing menghadap Mon.

Hati Mon berhenti.

Mata Mon tak berkedip.

Masyaallah, macam Brad Pitt!

"Yes?”

“Er, hello hello. My name is Mon. How do you do?”
Berhabuk betul skil bahasa Mon, tapi dia lafaz apa yang diingat dari buku teks sekolah dulu.

Abang Mat Saleh tersenyum. Oh Mon tertawan. “I’m fine. So you must be the Mon Jim keeps telling me about. My name is Henry.” Tangan dihulur.

Mata Mon masih tidak berkedip bila menyalam tangan Henry. Oh Henry, lebatnya bulu tangan… lembutnya tapak tangan… Mon boleh bayangkan tangan Henry membelai rambutnya, jemarinya, bahunya…

Ah, you..er… you very nice. I like you. Thank you.” Tergagap-gagap Mon berkata-kata. Kecantikan wajah Henry telah menyekat proses pemikiran Mon.

Henry ketawa besar. “Well, that’s good. Because you’ll be seeing a lot of me from now on.

Mon rasa bagai di awangan. Adakah ini bermakna Henry juga sukakan aku? Mungkinkah Ah Jim sudah menjual kehebatan Mon pada Henry? Oh, sukanya Mon!!

“Ah Mon, you sudah jumpa dengan Henry ya, baguslah!”

Ah Jim muncul dari ruang belakang kedai. Dia melangkah ke kaunter tempat Mon dan Henry berdiri. “So you’re okay with her, Henry?

Oh, I’m okay with her. She’s a darling,” kata Henry.

Very good!” Ah Jim senyum besar dan memaut tangan ke bahu Henry.

Darling? Mon melonjak gembira. Bak kata bos Mon, this is too good to be true-

Hati Mon berhenti.

Mata Mon tak berkedip.

Minda Mon enggan berfungsi.

Mon menyaksikan Henry merangkul Ah Jim dan mereka berkucupan mesra cup cup cup dari bibir ke bibir kemudian semakin rakus tangan menjalar ke dada dan

Mon tidak tahu apa-apa lagi sebab

Mon terus pitam dan demam meracau-racau selama seminggu.

6 comments:

Cik Puan Muda Stress said...

apa ni?

kau buat lawak homo dengan aku ??

azyze gomez said...

uols,
homo-homo pun bercinta bagai jugak uols...

hik hik hik!

bailey said...

ah jim gay? ah tragis sungguh kisah cinta mon.

Cik Puan Muda Stress said...

kesian kau kan noks.

busy giler sampai takde masa nak hapdet blog...

tini said...

keji la uols, very d anti-climax..sian Mon.. :)

azyze gomez said...

bailey:
trajis..

Cik PMS:
ye nuks, aku menyahut seruan KPI namanya...

Tini:
sian la jugak hahha