Pages

Ahlong suap

Friday, February 29, 2008

Bila blog ini dibaca ramai kenalan, saya telah:

1. Membuka pintu untuk lebih ramai orang mengenali saya

2. Memberi peluang untuk mereka menilai saya dari coretan hati, bukan dari pandang rasa semata

3. Meletakkan diri saya di ruang yang agak vulnerable kerana cerita yang saya coret di sini besar kemungkinan tidak akan saya kongsi secara verbal.


tapi ia juga telah menyebabkan saya:

1. Memusnahkan sebarang peluang untuk menyimpan rahsia (kerana saya berjanji menjadikan blog ini ruang coretan hati saya)

2. Berasa gundah kerana saya memang mahu meluah rasa sanubari tetapi tidak boleh bercerita secara ikhlas kerana tahu ada pihak yang akan berasa hati maka menyusahkan hubungan persahabatan yang sedia ada.


Perlukan saya membuka blog rahsia?


--------------------------------------------

Saya mahu mohon maaf secara terbuka kepada Cik PMS kerana mungkir janji malam semalam. Kasihan dia. Saya rasa saya perlu membayar kembali hutang janji saya itu. Tapi saya juga takut kalau-kalau dia gunakan abang bertopengnya untuk membelasah saya sekiranya saya pergi brjumpa dengan dia minggu hadapan.

Cik PMS memang ganas. Tengok kening pun dah tahu.

Opp. Maaf Cik PMS, cucu tumpang lalu...



topeng ko ni nak buat aku takut ke, nak buat aku gelak?

---------------------------------------------

Kehebatan dia membuatkan saya rasa lebih tertekan.

Seharusnya saya tidak berasa seperti itu.

Tapi... ya...

Dia cantik (itu sudah cukup untuk mengelabu mata mereka). Dia comel, adorable, tidak berkira, baik hati, bersifat mulia, laksana bulan jatuh ke riba, tak pernah salah di mata.

Huh. Stress. Walaupun sepatutnya tidak. Dia tak sepatutnya membuat saya rasa kecewa dan gundah.

Saya tahu. Sebenarnya saya berasa begini kerana saya tidak suka diri saya. Itu sebenarnya. Bukan kerana orang lain. Kerana saya sendiri.

Hish...

Keindahan sementara

Thursday, February 28, 2008

Menyedut asap rokok dari lelaki neo-moden di meja sebelah cukup menyiksakan. Kreteknya seolah tidak pendek-pendek. Cubaan untuk batuk-batuk kecil nampaknya tak diendah.

Jarinya pantas mengetuk komputer bimbit berlogo epal di atas mejanya. Sekejap sekejap dia menekan punat PDAnya. Dari komputer ke PDA, dari PDA ke komputer.

Saat berlumba bertukar menjadi minit.
Minit berganti minit.


Asap rokok masih berkepul. Berkumpul diatas kepala kami.

Saya batuk kuat. Ini bukan cubaan memberi tanda. Memang saya tersedak bau asapnya. Pedih hidung. Tajam masuk mencucuk peparu.


Dia menjeling. "Oh, bothering you ke?"

"Kinda."

"Sorry, my last pack," katanya dan sambung mengetap-ketip komputernya.

Abu rokok gugur perlahan ke atas kasut puma hijaunya. Sedikit berasap bila bara bertemu suede. Kemudian padam menjadi putih.


Dia batuk. Kong! Kong!

Tanpa diminta dia memandang saya. "My last pack. Got some lung problem." Mukanya sedikit kelat bila menyebut ayat terakhirnya.

Tumpuannya kembali ke komputer, oblivious dengan kehadiran saya di situ. Mungkin dia berkata dengan diri sendiri. Re-enforcement sebab perlakuannya.

Asap rokok terus berkepul. Kepul besar bila dia menyedut dalam, sekadar wispy bila dia leka melayan komputer.


Lagu rock apa entah berkumandang. Dia mencapai PDAnya.

"Hello? Hai sayang.. ayah ada kat Sakura lah ni. Sayang datang dengan mama ya? Okay, I see you."

Dia mengemas kertas kerja di atas meja. Menutup komputer bimbitnya. Disimpan semua ke dalam beg sandang. Membetukan baju-t. Menyikat rambut dengan jemari.

"Ayah!"


Budak lelaki kecil berlari dari pagar masuk ke Sakura Kristal. Tersenyum besar.

Lelaki neo-moden melontar rokok kretek yang separuh hisap ke bawah meja. Dipijak. Tangan secara otomatis mencapai gula-gula di atas meja dan menyumbat pantas ke dalam mulut.


Si kecil sampai ke meja. DIrangkulnya anak kecil itu. "Hello sayang! Mama mana?"

Budak kecil itu tergelak besar. Dikucup pipi lelaki neo-moden itu. "Tu mama!" mulutnya mungil muncung ke pintu.

Seorang wanita lewat tiga-puluhan tersenyum melangkah ke arah dua lelaki yang saya rasakan cukup penting dalam hidupnya.

"Hai Rizal."

Lelaki neo-moden memandang si wanita. Ada sayu di mata itu. "Hai Fiz. You all dari mana?"

Si wanita terhenti setapak dari meja. Muka berkerut. "Have you been smoking?"

"Me? No."

Si wanita menggeleng kepala. "I can smell it, Rizal... You know you shouldn't-"

Lelaki neo-moden menjungkit bahu.

Saya batuk-batuk kecil. Masa untuk mencelah. "Er, abang, ada lighter tak? Mine dah habis lah."

Si wanita mengangkat kening, memandang saya.

Lelaki neo-moden senyum. "Er, tak ada lah dik. Sorry."

"Oh, it's okay." Saya buat muka hampa. Bangun dari tempat duduk saya. Ke kaunter di sebelah tempat kami duduk untuk membayar makanan saya. Pura-pura bertanya tentang pemetik api di kaunter. Nasib baik tidak ada. Jika tidak tentu kantoi besar.

Sebenarnya saya belum selesai makan, tapi rasa seolah mengganggu interlud mereka. Seperti pemerhati yang tak dipinta. Seperti asap rokoknya yang berlegar dengan tegar. Ya, saya harus pergi sahaja. Intimacy yang bakal menyusul sedikit melukakan saya. Cemburu berbisik di hati. Belum masa saya mengecapinya.

Sebelum berlalu, saya sempat menoleh ke arah keluarga nukleus itu. Mata saya menangkap pandangan si lelaki neo-moden. Ia jujur bicara tanpa kata : Terima kasih.


Saya melangkah pergi sambil tersenyum lebar.

Cinta ra-ha-sia

Sunday, February 24, 2008

Banyak-banyak cerita cinta tersembunyi yang pernah anda hadapi, tentu ada yang rasanya rahsia itu akan dibawa sampai ke mati, kan?

Begitu juga saya.

Rasanya hampir semua cinta sembunyi saya begitu. Kecualilah ada kawan-kawan yang berjaya menghidu dan mengkantoikannya. Nasib baik jugalah setakat ini, macam nan hado yanng terlajak gitu.

Woh, bahaya woh kalau orang tahu... DCB milik orang seperti saya ini tak boleh terlepas ke pengetahuan orang lain. Lainlah kalau saya ni Cindy Crawford ke, Britney Spears ke, Johnny Depp ke, Abdul Halim Ghazali ke... bolehlah main tattoo-tattoo di badan, cerita pada media segala. Tapi hakikatnya...oh no no no... teet (bunyi buzzer jawapan salah)

(Sebenarnya saya pemalu orangnya haha)


Lirik lagu di bawah ini buat saya terfikir tentang perasaan saya ketika saya menaiki bas pagi tadi. Berlatarkan pemandangan KL yang sesak namun cerah ceria, lirik lagu itu bagai menggema perasaan saya selama ini. Macam orang jerit 'BINGO!' bila nombor yang digariskan dah lengkap.

Hanya Menari

Jangan salah sangka
Sememang ku manusia biasa
Ku santai sahaja
Menerima segala yang ada

Mengapa bila bertentang mata rasanya bersalah
Bagai dah berlaku jenayah yang besar
Dia tak perlu tahu rahsia kau dan aku
Jika ditanya ini jawapanku

Kami hanya menari
Goyang kanan dan kiri
Hanya menari
Bukan jatuh hati

Jangan kau ubah fikiran
Sesungguhnya niatku suci
Tuk jadi seorang teman
Namun rasa diriku diuji

Mengapa bila kita bertiga
Ku jadi cemburu rasa dicuri hak milikku
Kau tak perlu tahu isi hatiku
Jika itu penting ini alasanku

Kami hanya menari
Goyang kanan dan kiri
Hanya menari
Bukan jatuh hati

Alam keliling pun membisu
Risau tertulis di bibirmu
Rahsia tersimpan hingga akhir hayatku
Tidak seorang pun yang tahu...

Mengapa bila tidak bertemu
Aku jadi rindu
Bagaimana pula dengan dirimu
Satu hari nanti
Terbongkar cerita
Jangan kau lupa rencana kita

Kami hanya menari
Goyang kanan dan kiri
Hanya menari
Belum jatuh hati

Kami hanya menari
Goyang badan dan kaki
Hanya menari
Belum jatuh hati



p/s: Posting ini adalah untuk Cik Q sebenarnya! Q, aku rasa ko cakap aje la kat dia yang ko dah menyimpan bebunga cinta terhadap dia. Aku rasa dia pun suka kat ko... ni balik-balik main tenung-tenung. Gatal sangat, geli geleman aku!

wihu wihi wiha

Thursday, February 21, 2008

Hello hello korang...

Pertama sekali, jika anda sedang membaca lembar ini, bermakna anda tentu perasan perubahan kepala blog ini. Saya tengah berperasaan bangga dengan keupayaan saya menghasilkan sesuatu yang cantik (akhirnya) untuk blog sendiri walaupun keupayaan mereka-lakar adalah pada tahap sekolah rendah. Kalau boleh, saya nak buka blog saya ini setiap 5 minit semata untuk menikmati keindahan stroke dan kaset retro itu. Kalau boleh saya nak guna rekaletak itu untuk wallpaper desktop saya. Tapi tak boleh, takut-takut ada pembaca misteri dari ofis. Maklumlah, saya kan glamor...

(matilamak)


--------------------------------------------
Pagi tadi sesak sungguh di dalam LRT. Saya terhimpit di tengah gerabak. Tak sengaja terlibat mendengar perbualan dua lelaki awal duapuluhan. Seorang Melayu, seorang Cina. Pakaian segak, bertali leher. Saya perasan mereka memakai tag kerja Petronas, tapi tak perasan pula apa nama mereka.

Lelaki 1:
Kalau aku berak pagi-pagi aku tak puas lah.

Lelaki2:
Kenapa pulak?

Lelaki 1:
Entah. Macam terkejar-kejar nak berak, pastu nak mandi, pastu nak iron baju, pastu nak naik bas, pastu nak naik LRT... macam serabut sangat kepala hotak aku.

Lelaki 2:
Habis tu?

Lelaki 1:
Berak kat ofis lah best. Tenang. Tak tergopoh-gopoh. Lagipun kubikel jamban ofis aku cantik. Ada mood sikit nak berak.

Lelaki 2:
Oh, mood penting tu...

Lelaki 1 :
Nak kena train bontot supaya berak kat ofis sajalah... (memandang perut sendiri dengan muka serius) kau berak kat ofis okey.. okey...




Hayo hayo hayo!
Motif??!!!!!! Perlukah perbualan sebegini dilakukan di dalam LRT? Perlukah meletak imej sebegitu ke dalam kepala penupang seawal subuh? PErlukah membuat saya pula terasa -

Masyarakat Malaysia memang bermacam ragamlah.


-------------------------------------------


Saya ada pengakuan. Ikhlas.

Guilty pleasure yang teramat sekarang ini: Imran Ajmain.


Ya, ya, gelakkan ajelah saya. Gelak lah sampai tergolek kerusi.

Tapi betul ni, entah kenapa tertaste pulak pada penyanyi Kota Singa itu. Ye uols, iols tahu, dia tu dinch sangat! Menyanyi live masyaallah sengau tahap ya ampun berdarah telinga. Tengok klip video pun dah tau pech lubs kan. Tapi uols, tapi dia sangatlah chomel! Saya memang ada soft spot for guys with that kind of build, so ya, sebab itulah agaknya. Dan dia seorang yang agak artikulet. Bijak menyusun kata dan agak matang. Oh saya rasa geram nak cubit pipi dia. Geram geram geram!


tak geram ke?


Ia macam...macam kita suka pada Feminin lah. Walaupun As menyanyi live berterabur macam tongkang pecah yang terdampar kat pesisir pantai, tapi kita tetap rasa Feminin tu woh, habis baik ah. Walaupun kita tahu yang fesyen overall-skirt dengan t-shirt belang-belang tu sangatlah persis Beatlejuice becelup kunyit, tapi kita tetap kata mereka ikon fesyen zaman 90an. Dan walaupun kita kadang-kadang mengutuk Feminin poyo, kita sebenarnya nyanyi jugak lagu Untukmu sambil terkinja-kinja menari ikut steps masa mandi.


Saya sedang mendengar album Imran Ajmain, dan saya perlu akui , despite falsetto kepitnya itu (tidak terlalu prominen dalam album), dia mempunyai bakat yang tinggi dalam bidang penulisan lagu. Ada potensi untuk berkembang. Ditambah pulak dengan sifat konfiden 'kau hado' nya itu....dia boleh pergi jauh. Saran saya (andainya Imran menggoogle namanya dan terbaca entri ini), tumpukan lebih kepada lagu-lagu R&B soul ringkas seperti persembahan akustiknya di Annexe@ CM tempohari. Bila begitu, kawalan suaranya lebih baik, mood nyanyian lebih menyerlah dan tidak seperti terlalu mencuba / dibuat-buat.

Toh-fuh

Wednesday, February 20, 2008


Rupanya buruk.
Kalau letak sebelah nasi lauk ikan keli belado ataupun lauk asam pedas kat kafe bawh tanah tu, orang mesti ingat tu sisa makanan yang tersilap di hidang.

Tapi hari ini,
sebab buat sendiri,
inilah tofu paling sedapppp sekali pernah saya makan.

Wuhuu!

Meme di pagi buta

Tak ada idea untuk menulis apa-apa topik. Sedikit gundah. Penulis prolifik jika tidak melankoli sekali-sekala tak bestlah, kan?

-------------------------

What kind of soap is in your shower right now?
There's two bars of soap (I think Protex), a shower gel (Impulse) and my Cetaphil cleanser.

Is there watermelon in your refrigerator right now?
No. We got pears in the fridge at home, and I stocked up some apples and oranges in the office fridge.

What would you change about your living room?
Technically I don't 'own' the living room so I have no say over it. But a nice, down to earth couch would be nice ;p


Are the dishes in the dishwasher clean or dirty?
No dishwasher at home, but I'm surethe sink is filled with dirty dishes from last night.

What is in your fridge?
A lot of things. Leftovers, shrivelled veggies, ikan masin. Lot's of ikan masin. Bapak memang minat ikan masin, kering and the likes.

What is on top of your fridge?
Fridge-top cover.

What color or design is on your shower curtain?
No shower curtains.

How many plants are in your home?
We have some wilting orchids on the dining table nad a few pots in the yard. Nothing else.

Is your bed made right now?
No.

Is your closet organized?
I'd like to say yes, but no, it's not.

Can you describe your flashlight?
Just the normal one.

Do you drink out of a glass or plastic most of the time at home?
Glass.

Do you have iced tea made in a pitcher right now?
No. Too early in the morning to be drinking iced stuff.

If you have a garage, is it cluttered?
No garage.

Curtains or blinds?
Curtains.

How many pillows do you sleep with?
Two, plus a bolster

Do you sleep with any lights on at night?
Erk no. The darker the better.

How often do you vacuum?
When the mood strikes. And that doesn't happen often.

Standard toothbrush or electric?
Standard.

Do you have a welcome mat on your front porch?
Nowpe.

What is in your oven right now?
Nothing. Maybe cobwebs.

Is there anything under your bed?
Boxes full of books, pirated CD's from my college days and an assortment of knick-knacks.

Chore you hate doing the most?
Oh dear. Vacuuming? Washing dishes? Tidying up. Yeah, tidying up.

What retro items are in your home?
My father's gramaphone, a classic typerwriter and a few old charcoal irons.

Do you have a separate room that you use as an office?
Nope.

How many mirrors are in your home?
Including everyone elses, we have 6.

What color are your walls?
Living room is in beige, kitchen is in yellow, my room is in lavender, Am's blue and white & my parent's room are white.

What does your home smell like now?
Right now? I don't know. Probably like... nothing.

Favorite candle scent?
Used to love coffee, but currently in banana and rose mode.

What kind of pickles are in your fridge right now?
None.

What color is your favorite Bible?
Don't own a bible. Don't need a 'bible' bible.

Ever been on your roof?
No.

Do you own a stereo?
No. My dad bought ours.

How many TVs do you have?
1 in the living room, functioning. One in my parent's room, seldom used. One in my room, not used (we got this one free) and another in Am's room (dah rosak but bapak want to keep it for reasons we cannot phantom).

How many house phones?
One, non-functional. The last time we had a line was, I think, 3 years ago.

Do you have a housekeeper?
No.

What style do you decorate in?
No style. I'm reserving that creative flow for my own pad (when I get one).

In case of fire, what would you grab if you could only make one trip?
My handbag (which stores my purse, hp, puff etc), my copy of Hannibal and a few other books, whatever clothes I can grab. And oh, my uni certs. Wait, they're all over the place. I better go home and re-arrange them to be closer to each other. Huh.

Kemanakah orang itu

Sunday, February 17, 2008

Hmm...

Kemanakah En. Amir the Knight, pembaca blog saya yang aktif meninggal komen lewat tahun lepas, ya?
Dan Cik Khadijah, wanita perantau itu?

Adakah mereka masih di sini, menjadi pembaca senyap? Atau memang sudah tidak kunjung tiba?

Hmm...


p/s: Salam perkenalan buat pembaca baru (you know who you are). Terima kasih diatas emel anda yang panjang lebar itu :)

p/s2: Opp, feeling-feeling blogger selebriti lah tu, yakin ada peminat segala kan? *pitam sebab zass diri sendiri*

Bantuan. bantuan!

Saturday, February 16, 2008

Encik-encik dan puan-puan,

Ada sesiapa yang berminta untuk berkerja separuh masa sebagai penulis (copywriter)?

Saya sedang mencari seorang penulis atau copywriter sambilan untuk membantu saya di pejabat.

Tempoh kerja: 9am-6pm, Isnin hingga Jumaat, selama lebih kurang 2 bulan.

Kelayakan:
Graduan diploma atau Ijazah sarjana muda. Penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang baik.
Keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang Komunikasi Massa atau media.
Lebih baik lagi kalau anda minat dengan dunia fesyen / kecantikan.

Skop kerja termasuk menulis rencana iklan, risalah-risalah, bahan media dan sebagainya.

Jika berminat, sila emel saya dengan secepat mungkin di ely_azyze@hotmail.com

Terima kasih!

Semut hitam

Friday, February 15, 2008

oh korang...

mood separa detox ini menghalang saya dari memakan ayam mahupun daging dan lain-lain

tak apa, saya masih boleh tahan.

tapi kenapa tiba tiba rasa macam nak nangis

sebab

rasa kecewa tak dapat makan donat (versi tepi jalan)?

donat tepi jalan sedap sebb goreng panas panas dan ade gula halus yang indah...


saya nak donatttt.......

Belum sampai

Thursday, February 14, 2008




Not quite there yet.
But I'm trying.


Selamat berkasih sayang semua.

Where I got my funnybones from

Saya memang suka baca komik. Agaknya terlekat dari bapak saya lah ni. Masa saya berumur lebih kurang 2 tahun, bapak dah sogokkan saya Rupert The Bear. Naik sekolah tadika, saya dah rajin baca komik-komik Hong Kong berterjemahan yang bapak beli secara bersiri - Singa Gila, Naga Zamrud... semuanya karya Tony Wong, seorang pelukis komik muda yang pada masa itu baru nak cipta nama dalam industri komik negaranya. Bacaan saya itu diselang-selikan dengan koleksi komik Marvel yang turut digemari bapak. Katanya, baca komik pun bagus untuk menguatkan pemahaman Bahasa Inggeris. Jadi, layannn...

Sesudah arwah Pak Yang saya meniggal dunia, barulah saya tahu yang beliau sebenarnya kaki Mad Magazine, Gila-Gila dan Batuapi (serta Gelihati). Setiap kali balik ke Pulau Pinang, itulah kerja saya seharian. Hari Raya kah, cuti hujung tahun kah, saya akan terperuk di dalam bilik baca majalah tinggalan arwah Pak Yang. Bila menimbang tara antara Mad dan Gila-Gila, baru saya tahu yang komik tempatan pun tak kurang hebat dengan komik asing yang diagung ramai. Baca komik jadi hobi mentelaah yang baru - saya akan baca dari kulit ke kulit, dari kartun ke tulisan pojokan ke pieces yang lebih serius seperti tulisan A. Samad Said dan sebagainya.


Sepanjang sekolah menengah dan awal universiti, rumah saya berlonggok dengan variasi komik. Bapak masih setia dengan komik Cinanya, apatah lagi bila karya lama Tony Wong semuanya di repackage dengan lukisan-lukisan yang lebih moden dan cantik. Tiger Wong dan gengnya diberi nafas baru dalam Alam Perwira. Begitu juga dengan wira-wira komiknya yang lain. Datang dewata Raya dan Pendekar Laut, lagilah menggila sawan komik kami. Saya akan beli komik tempatan, bapak beli komik Cina. Kami main tukar-tukar baca.

Bila Gila-Gila hilang sengatnya, kami baca Ujang. Bila Ujang mula merepek, kami beli Apo?. Bila Apo? kecundang... saya rasakan komik lain, erm.. gitu-gitu ajalah. Bapak pun berhenti menggalakkan saya membeli majalah tempatan. Sedih tu sedih, tapi saya tak larat melayan terlalu banyak komik leleh. Sudahlah emo, banyak pulak pelukis/penulis ciplak yang cuba mengguna formula sama untuk berkarya. Penat baca.

Masuk pertengahan universiti, saya dikenalkan dengan Gempak. Best sebab cerita hantu dan lawak stripnya memang berkesan mencucuk pangkreas. Maka bacalah Gempak hinggalah Gempak pun beranak-pinak. Tapi gaya komik manga ni, sukanya bukan jenis yang boleh terbawa-bawa. Lainlah kalau baca komik original Jepun. Yang itu feelnya lain. Kalau komik kartunis lokal bertiruan manga ni kawaiinya atau kesaktiannya tu tak menjadi. Senang cerita, stroke tak makan lah.

Sekarang ni saya dah tak baca sebarang komik lawak lagi. Penat lah. Saya cuma revisit helaian - helaian komik lama yang saya koyak dan simpan dalam diari atau jurnal di zaman-zaman sekolah dulu. Ya, I'm kooky that way. Koyak komik tampal dalam diari.
Whatever..

*******************************

Pagi tadi saya terima emel dari kawan yang buat saya gelak terbahak-bahak. Mana tidaknya, satu muka kartun dari kartunis all time favourite saya, Lambok.

Masyaalah. kalau baca kartun Lambok, boleh menangis saya ketawa. Paling tak tahan kalau wataknya tu terlalu syahdu lepas kena maki. Kepala teleng ke tepi, gigi bergoyang-goyang menggetap bibir, lepas tu air mata turun mencurah macam pili air ke lantai. Hadui... imej lawak itu melekat di kepala saya sampai sekarang!

Lambok memang majik.
Dia boleh buat lawak dalam keadaan yang serius. Pasti ada saja twistnya.


Nanti kalau saya rajin saya cari dan scankan kartun yang saya simpan itu ya. Untuk sekarang, anda enjoi keratan kartun yang diberi oleh kawan saya ini, ya?
Selamat ketawa!

Cerita khas buat Nadhrah

Wednesday, February 13, 2008

Kamariah ada seorang kenalan dalan kelasnya di universiti. Namanya Hasnah. Hasnah itu selalu disebut-sebut cantik oleh Abu, Zarip, Kerol dan kawan-kawan lelaki yang lain. Bila Kamariah tengok Hasnah, tak lah secantik mana. Memang badan kurus, kulit cerah, tapi muka kemek. Kalau lihat bayang profile dari jauh, macam lekuk pintu kancil yang dilanggar motor.

Kamariah pernah ditanya Mariam kenapa Hasnah menjadi kegilaan ramai. Mariam pun rasa Hasnah tidaklah sehebat mana walaupun berbadan kurus. Sudahlah itu, ada ura-ura yang Hasnah itu sukakan saudara perempuannya. Perempuan sejenis ini jadi kegilaan lelaki di fakultinya?

Zarip kata yang Hasnah digilai ramai bukan sahaja sebab tubuhnya itu, tapi juga kerana dia kelihatan seperti seorang yang berada. Bila berkata-kata dia sungguh yakin, walaupun bila membentangkan kerja dalam Bahasa Inggeris. Bahasa Inggerisnya berhabuk, teratur laju percakapannya. Ditambah pula dengan lidah pendek Hasnah yang buat dia pelat sikit mak ai makin chomel bila bercakap.

Mariam beritahu Kamariah yang mungkin matanya juga kero macam Kamariah sebab dia selama ini tak nampak kehebatan tersembunyi Hasnah itu. Kamariah menggeleng kepala. Dia beritahu Mariam, jangan terlalu cepat membuat andaian. Satu hari, cuba duduk dan perhati betul-betul. Dia akan kagum, tapi bukan sebab ianya hebat sangat.

Mariam skeptik. Takkanlah Hasnah itu tak best sebenarnya?


Hasnah dan ahli kumpulannya sedikit gedik di hadapan kelas, beriya memperkenalkan drama pendek karya mereka. Dengan bongkak Hasnah berkata yang drama ini sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris sebab mereka rasakan lebih uber dan relevan kalau drama percintaan dan liku hidup perempuan moden dipersembahkan dalam bahasa negara dunia pertama itu. Hasnah turut meminta penonton meneliti kehebatan arahan fotografi mereka. Segala teknik rakaman baik dari sudut-sudut kreatif mahupun penemuan cara baru merakam cerita semuanya dilakukan mereka. Semuanya dirancang dan diteliti berulang kali agar tiada satu pun babk dalam drama itu yang tidak mencapai standard piawaian drama-drama neo-modenisasi televisyen zaman sekarang.

Selesai tayangan.
Ahli kelas tepuk tangan beriya (budak laki-laki), ada sesetengah yang tepuk lite-lite (kumpulan budak-budak bercita tinggi). Kamariah cuma menggeleng kepala dengan senyum senget sebelah. Dia pandang Mariam yang ternganga.


Fuh, hebat betul skrip cerita Hasnah tadi, kata Zarip pada Marian dan Kamariah. Belum sempat Kamariah kata apa-apa, Mariam terus mencelah. Mana ada hebatnya, kata Mariam.

Kenapa pulak tak hebat, tanya Zarip. Walaupun teknik zoom cincin sampai 3 minit, pencahayaan gelap kusam, susunan lagu berterabur, tapi comel apa si Hasnah bergaya di dalam drama tersebut.

Mariam kata ianya tak cukup hebat. Sebab bila Hasnah membuat V/O, Bahasa Inggerisnya melampaui tahap diraja. Sebab tadi, dengan penuh keyakinan suara Hasnah bergema memenuhi ruang kelas tonton-dengar dengan keras:

"I A paranoid!"

"I A Paranoid!"

I A paranoid!"



Gitu... I'm paranoid jadi I a paranoid katanya.

Zarip pitam.



"I A paranoid!"



P/s: Tahniah pada Hasnah kerana sudah berkahwin. Ada orang beritahu saya yang Bahasa Inggerisnya masih sama seperti dulu. Takziah untuk itu.

Dandelion

Tuesday, February 12, 2008




Look out of the window
Could you see the sun shine so bright
My hope flutters like dandelions swept by the wind
It's here, then it's gone

Two people connected in love
Interwoven like spun silk
dripping a puddle of lovewell dye
then dried
cracked
dusted by the wind
it was there, then it was gone

Magic falls in between your fingers with the sands of time
how do you pick them up before they evaporate
like mist at dawn
bottom rock
is where it takes me
the drifting dandelion
to take root in nothingness

you cast me away in a sea of disillusionment
i do not have the means to escape this reality
and so i stay here
and root
and i shall try to thrive
i'll be that white drop in the murky field

One day
my children will fly far and wide
and my cold stories shall be told


© Ely Azyze
2.00pm, Kuala Lumpur

Cerita kegagalan dan harapan

Monday, February 11, 2008

Semalam saya bangun tidur dengan suara semacam. Semacam Zaharah Agus campur Rosnah Mat Aris campur Mak Nyah tua pakai sari di Lorong Haji Taib yang kata "10 pun jadilah..." bila ada lelaki melintas di depan. Celaka betul. Sisa geng DBS (demam, batuk dan selesema) yang menghenyak mak dan bapak nampaknya dah melompat untuk berkoloni di dalam tubuh saya pula.

Hari ini masih sama lagi. Sakit tekak yang terus membatal mood dan menjunamkan saham saya di khalayak ramai. Menyesal tak pandai berisyarat tangan. Jika tau, boleh jugalah saya pura-pura bisu. Sekarang, bila mahu bayar tambang bas, beli makanan di kedai, atau paling tak boleh tahan sekali, bila kena berinteraksi dengan bos dan pekerja di pejabat, rasa macam nak makan kasut sendiri dan berbaring saja di tengah Lebuhraya Persekutuan di depan kerana sebaik saya membuka mulut

"Seraknya suara kau, makan limau banyak ni..."

atau

"Hai uols, buat apa hujung minggu sampai serak-serak nih? hihihi"

dan yang paling bangang

"Kan betul aku kata, kau sebenarnya pondan kan?"


Celaka betul.
Tapi musibah sebeginilah yang buat saya berterima kasih kepada tuhan kerana menjadikan saya seorang penulis. Bayangkan kalau saya jadi DJ Radio. Mau eksiden semua pemandu-dengar-radio dek penangan suara serak saya. Makin sikitlah jumlah orang ke pejabat yang sememangnya lengang akibat cuti raya cina yang orang Cina nak cuti, diapun nak cuti jugak.


--------------------------------------------------------------------------

Sakit tekak menyebabkan saya banyak berfikir dari bercakap. BIla banyak berfikir, saya nampak banyak benda yang saya selindung dari fikiran sebelum ini. Antaranya

Saya seorang pemalas yang tidak pernah mencapai sebarang sasaran yang saya letakkan ke atas diri sendiri kecuali jika ia soal hidup dan mati.

Biar saya mengaku - sebarang resolusi tahun baru yang telah saya buat dalam 5-6 tahun kebelakangan ini semuanya tidak saya capai. Kecuali menggenggam ijazah dengan keputusan yang baik, alhamdulillah. (Tapi ijazah = kerja baik = hidup selesa = antara hidup & mati.)

Resolusi kurang makan? Pergi gim? Simpan jurnal? Berhubung dengan kawan-kawan lama? Kemaskini catatan & alamat penting? Hafal nombor telefon keluarga dan polis? Berhenti pakai seluar jeans setiap hari ke pejabat? Ubah pendirian? Berhenti membazir masa melayar internet di pejabat? Semuanya kecundang.

Tapi saya mahu berubah. Sekarang ini hati saya berbisik 'dah tiba masanya'. Ya, buat masa sekarang ini saya berasa begini. Mungkin juga perubahan berdikit-dikit ini akan terhenti sepertimana semua resolusi ubahan lampau, tapi jika tidak buat sebarang pelan untuk berubah (dan cuba untuk berubah) maka saya tak mungkin tahu keupayaan diri saya. Dan anda juga takkan dapat mengetawakan saya lantaran janji-janji palsu yang tak dapat saya tunaikan itu, bukan?

Tengoklah. Tunggu dan lihat. Insyaallah.

Mari saya mulakan dengan benda yang sepatutnya mudah tapi susah untuk saya:



-----------------------------------------------------------------

Detoks.

Ya, kali ini biar saya bubuh resolusi kecil ini di sini supaya saya akan berfikir enam tujuh puluh kali untuk mengingkarinya.
Fuh, bunyi macam nak buat lama saja.
Lama... seminggu. Hah.

Ramai yang kata saya lemah, lesu, kurang tumpuan disebabkan kerja. Tapi saya rasa ia kombinasi bebanan kerja dan gaya hidup saya yang sememangnya tidak sihat. Jadi dah tiba masanya untuk saya lakukan regim makanan minimal untuk membersih edaran darah, buah pinggang dan memulih tenaga secara semulajadi. (Kotoran otak memang dah tak boleh di tolong.)

Beb, rejuvinating yourself bukan dengan meminum Super Power Kacip Fatimah, beb. Lu ekna buang semua habit pemakanan lu yang entah apa-apa tu, beb. Lu tengoklah carta pemakanan yang telah gua pelan untuk minggu ini, beb.


Satu-satunya minuman yang akan saya minum adalah air suam. Dan teh detoksifikasi. Eh, itu sudah dua-duanya.



Aha, cantik kan bungkusannya? Saya harap efeknya pun sehebat idea pembungkusan dan re-branding nya lah.
(macam perut saya saja..)



Selain itu, saya sudah mengucapkan selamat tinggal pada ikan keli, sayur goreng, nasi ayam, kailan ikan masin, malta, daging padprik, nasi lemak, telur goreng mata kerbau, dan yang paling penting sekali - nasi. Ya, ya, saya tau ada kawan-kawan yang sudah bertaruh wang bila mendengar perkara ini. Tapi saya akan cuba. Cuba pura-pura nasi itu adalah ikan bilis lembik dalam kuah sayur (yuck!) atau mee bandung guna sos cili (potong betul).


Selamat tinggal nasi ayam...




Selamat datang buah buahan, sayur-sayur salad dan teh tawar.

Kita nantikan kesudahannya hujung minggu ini.

yee sang jom!

Wednesday, February 06, 2008



Ah Beng, Ah Lian,
Silamat Menyiambut Tahun Balu Cina.
Kong Hei Fatt Choi ah!

Karma

Tuesday, February 05, 2008



Hari ini mood saya adalah mendung. Sakit hati. Keliru. Sakit kepala. Marah bercampur sedih. Stres.
Kata mudahnya = jiwa kacau.

Seharusnya entri ini menjadi entri menggelakkan ketakburan orang, tapi kejadian pada saya menyebabkan saya terhenti dan berfikir - apakah ini juga balasan yang aku dapat atas takbur ku di masa lalu yang tak aku sedari?

Begini ceritanya.

Pembaca lama dan setia blog ini pasti tahu tentang cerita kawan yang ingin mempergunakan saya berjumpa teman telefonnya, semacam helah Sabariah dan Kasim Selamat. (Tak perlu mencari di arkib, posting itu telah saya padamkan selepas beberapa hari ia dipaparkan kerana tak mahu menyimpan dendam). Selepas beberapa hari berfikir mengenai sakit hati, saya bertindak memaafkan kawan saya itu sebab saya rasa susah orang cantik nak memahami perasaan orang kebanyakan, dan sememangnya sikap narsisistik orang cantik datang dengan semulajadinya. Bukan dia buat-buat nak jadi narsisis, tapi sudah dia diberanakkan untuk bersikap buruk sebegitu. Malangnya, sebagai seorang insan biasa, saya cuma mampu forgive, tidak forget.

Baru-baru ini saya berjumpa dengan kawan tersebut. Woh...dia sudah berubah menjadi apa yang dahulunya dijadikan bahan tawa dan ejekannya. Apa bendanya, biarlah saya tak nyatakan disini, takut aib pula kalau dia dan orang yang mengenalinya kebetulan terbaca blog ini. Tapi sesungguhnya, saat saya melihatnya, benda pertama yang menjerit-jerit dalam otak saya adalah "KARMA! What goes around DOES come around!"

Betul.
Saya seolah kagum. Ayat cliche itu sebenarnya memang bisa terjadi dan bukan dongengan dalam novel mahupun pembalasan halus yang terjadi pada seseorang secara rohaniah. Itu dia, di depan mata saya, si ratu diva sudah sedikit-dikit berubah menjadi bahan tawanya sendiri suatu masa dahulu.

Sampai ke pagi tadi ia masih terngiang di kepala saya...

What goes around comes around.

Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.

Saya harus take heed tentang perkara sebegitu dan lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan.

.....

Tengahari tadi baru saya perasan ada rakan yang melayan saya dengan agak sinis. Sebenarnya saya sudah lama perasan perkara ini, tapi saya tolak ke tepi. Mungkin saya silap, mungkin saya paranoid. Tapi salah satu perkara yang terjadi tadi memaksa saya membuat kesimpulan bahawa ya, dia memang ada menyimpan perasaan tidak senang terhadap saya.

Kenapa dia bersikap begitu? Ketika mula mengenalinya, saya rasakan dia punya superior complex, tapi setelah mengambil masa berbual dan berkongsi cerita, saya rasakan kami sekepala dan boleh berkawan mesra. Sudah berkawan mesra pun. Tapi tiba-tiba saya perasan yang dia mula berubah. Mesra itu masih ada, tapi dia seolah mesra bermuka-muka. Saya cuba jadi ekstra baik dengannya, manalah tau mungkin itu boleh memenangi hatinya, tapi tidak juga.

Nak kata saya patut percaya pada instinct pertama saya, tak juga. Dahulu pun, saya sangkakan Cik Pah Diva dari pejabat saya adalah diva yang tak mungkin mahu berkawan dengan saya langsung. Tapi lama-kelamaan kami saling mengenali dan kami berkawan baik hingga sekarang. (bagi sayalah. Bagi dia kot-kot ada perasaan tak puas hati atau kurang senang, tak tahulah. Woi Pah, kalau ade apape, bagitau tau! Insyaallah I can take it demi perubahan positif. Tapi kritis membina la. Ko kritis lapisan donat aku jaga ko!)

Jadi itulah. Sikap statement zass lazer ribut petir itu telah membuat saya sendiri tertanya-tanya - adakah ini balasan atas sesuatu yang pernah saya lakukan dahulu? Mungkinkah saya pernah melukakan hati dia hingga dia kini ingin bertindakbalas yang sama? Atau mungkin ini balasan dosa lain?

Apakah?
Apakah?

Selepas beriya-iya mengelabu minda berfikir benda ini, saya mula menganalisis sikap rakan lain pula. Alamak, rasanya kawan R juga sudah kurang berjenaka dan lebih masam muka! Mak orang satu (MO1) dan mak orang dua (MO2) dan mak orang tiga (MO3 iaitu kawan lazer tersebut) dan belum jadi mak orang (XMO) adalah satu geng, dan walaupun MO2 dan XMO setakat ini tak menunjukkan sebarang sifat tak hingin kepada saya, mungkinkah mereka mengumpat saya di belakang? Mungkinkah mereka mengata yang kaw-kaw tapi bila berdepan terus berbaik-baik?

Aduh apakah ini!!!!!!

Lepas itu, datang pula satu-persatu longgokan kerja yang entah kenapa menjadi gunung maha dasyat dan semuanya tak bisa dikompromi, semuanya penting, semuanya panjang berjela tapi mahu diselesaikan secapat mingkin, semuanya bikin saya

Serabut!

Serabut saya memikirkan segalanya!

Sakit jiwa bodoh!


Saya rindukan pasukan Diva Donat (Ik & Nurul) serta jejentik Aita....


Sudahlah!
Gi mampus la semua perasaan bongok seperti ini!

Saya nak dengar album Greatest Hits Kumpulan Five lah.

Sukati aku lah, apasal, tak puas hati?!



Before Switchfoot, there was Five.
Now everybody get up, sing it...
Five will make you get down, babe...

Pesona internet

Monday, February 04, 2008

Saya tengah melompat dari blog ke blog yang dah lama tak saya lawati, dan ada satu blog yang beri inspirasi untuk saya menulis kisah untuk hari ini.

Kisahnya er...

anda ingat tak masa mula-mula anda mengenal internet? Masa anda baru mengetahui majis sebuah kiub empat segi bagak berwarna putih (back then tak ada komputer warna hitam) yang beratnya lebih dasyat dari berat anda selepas buka puasa..kan...

Masa itu benda paling trendi sekali adalah untuk mengunjungi ruang-ruang bualan (IRC & MIRC), cari kenalan online sebanyak mungkin dan, apalagi kalau bukan mempunyai alamat emel sendiri.

Setiap kali ke Cyber Cafe atau melayar internet di rumah (bagi yang lebih berkemampuan), benda pertama yang kita lakukan pastinya i) mendaftar diri di dalam MIRC ii) buka akaun emel dengan harapan inbox penuh iii) kedua duanya sekali.

Ingat tak nama emel pertama yang anda gunakan?
Saya rasa keghairahan dan culture shock lantaran dari kemampuan bersifat global dalam sekelip mata membuatkan kita sibuk mencari tanda identiti yang paling mudah mengungkap diri kita dalam satu nama pendek di emel.

Dan oh, saya malu untuk mengaku,
tapi saya antara yang bersifat ebok dalam menamakan emel pertama mereka.

ely_steventyler@hotmail.com


Gua kata "abendeeee ah lu minah guna nama gua segala, kan..."




Sungguh wannabe. Sungguh memalukan~~~
*blushing, sorok muka dalamkain sendiri*







(Dalam feel2 suara Nobita & Doraemon versi BM)
"Saya tak sangka kamu sanggup menggunakan nama sebegitu,
Nobita! IIsssshhh... gelinya saya!"
"Maafkanlah saya, Doraemon! Saya.. saya pun rasa malu juga! Maafkanlah saya!"