Pages

Aku rindukan Pak Yang... ;(

Tuesday, July 03, 2007

Arwah Pak Yang saya seorang yang cukup muzikal. Dia berbakat main pelbagai alat muzik tanpa sebarang tunjuk ajar. Kata tok saya, ketika Pak Yang masik kanak-kanak, dia suka duduk di tepi sawah sambil main serulingnya. Kalau dia tertinggal seruling di rumah, dia akan buat sendiri seruling makeshift dari batang padi. Lagu yang dialun boleh buat makcik-makcik di dapur terhenti dan menangis. Itu kata tok saya lah.

Pak Yang selalu sendirian. Bapak saya dan pakcik-pakcik yang lain ligat masuk keluar hutan, mandi sungai, terjun lombong, curi rambutan, main kejar-kejar. Pak Yang tak pernah dapat join sebab Pak Yang sakit paru-paru dan semput. Purata setahun dia terlantar atas katil 50%. Selebihnya mungkin ke sekolah, petang-petang duduk di tepi sawah, atau di rumah - jadi minda aktifnya menukar arah ke muzik dan sastera. Di rumah tok ada gitar, tabla, bongo dan piano. Untuk membantu menyara keluarga; dan mungkin juga kos perubatannya yang sangat tinggi; Pak Yang (yang sememangnya seorang ulat buku) rajin menulis cerpen dan sajak untuk majalah. Dia juga menulis novel. Salah satu novel terjemahannya, Cintaku Adriana, menang satu anugerah sastera. Pak Yang macam maestro yang kita boleh nampak carta hidupnya - seorang karyawan hebat tapi sayang, dia pasti pergi menghadap illahi dalam usia muda. Memang betul pun. Pak Yang pulang ke rahmatullah pada tahun 1990.

Selepas Pak Yang meninggal dunia, pakcik saya mengangkut semua alat muzik yang ada (kecuali piano lah) dan disimpan diatas almari tinggi. Yang tinggal di bilik Pak Yang hanyalah rak kaset. Berkepuk-kepuk kotak kaset ada. Pakcik nampak macam tak suka dengar radio sangat (masa itu tak ada hi-fi, yang ada radio besar ala2 boom box tu) jadi saya pun kebas lah kaset-kaset yang macam best.

Saya pun kurang pasti kenapa saya ambil kaset-kaset tu. Saya bukannya dengar radio sangat. Mungkin kaset-kaset itu bagai jambatan memori saya dengan Pak Yang. Setiap kali tengok kaset saya teringat akan Pak Yang yang suka merakam perbualan saya. Disuruh saya menyanyi, bercerita. Kadang kadang kita borak-borak pun dia rakam. Pak Yang pernah kata "Nanti rindu-rindu kat Yana, Pak Yang dengaqlah tape ni." Tapi saya rindu-rindu kat dia tak ada pula tape nak dengar....

Saya masih ingat lagi:

Kupetik bintang - Kenny Remy Martin
Koleksi lagu tradisional - Abdullah Chik & Noraniza Idris
140 Hijrah - Kembara
Trajedi Buah Epal - Anita Sarawak
Perwira - Wann
Kuching - Alleycats


Semuanya saya ambil dan bawa pulang ke Kuala Lumpur. Saya minta bapak pasang kaset Wann dan duet allahyarhanm Abdullah Chik & Noraniza Idris dalam kereta. Selebihnya saya simpan di bawah katil. Cuma sekali sekala saya keluarkan dan belek-belek.

BIla saya meningkat remaja barulah saya mula mendengar koleksi kaset bawah katil saya. Masa itulah minat terhadap muzik mula bercambah. Setapak demi setapak saya melangkah masuk ke dalam warp zone muzik. Rencah pelbagai genre mula menjadi intipati pendengaran saya. Kaset-kaset Pak Yang bagai ruang masa yang membuka seribu pintu dalam minda saya. Walau tak berduit, saya mula mengumpul duit sekolah dan belasah eksperimental artis-artis yang saya duga digemari arwah Pak Yang. Aerosmith. The Beatles, Elvis Presley. The Platters, Ella Fitzgerald, Stevie Wonder. Semuanya saya telan dengan cukup gelojoh. Dunia yang diperkenal oleh Pak Yang akhirnya menjadi dominasi dalam hidup saya.

Dengan muzik saya rasa dekat dengan Pak Yang.
Dengan muzik saya rasa ruang kosong dalam hati sedikit terisi.


Tapi malam-malam sebegini, bila sunyi mencelah di hati, muzik pun tak dapat memujuk minda dari terbang mengejar memori. Mula terkenang pada dia yang telah pergi, dan minda nakal ini terfikir pula tentang realiti kehidupan - satu hari nanti pasti mak dan bapak juga pergi menghadap illahi. Saya rasa saya tak mungkin dapat lalui hidup tanpa mereka. Hati mula menyentak minta pada tuhan agar biarlah saya yang pergi dahulu sebelum mereka. Jika saya pergi, luka hati mak dan bapak boleh diubati dengan adik-adik saya, tapi kalau mak bapak yang pergi, kami bak kapal tak berkemudi.

Ishh....
Chain reaction, semuanya dari memori tentang Pak Yang.
Pak Yang, I miss you soo much. I wish you could see me now. I hope I make you proud. I love you.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah. Al-Fatihah.

No comments: