Pages

Bukan Diriku

Wednesday, May 09, 2007

Saya terima satu emel yang sungguh panjang dari Firhan minggu lepas. Ia mencetuskan balasan emel yang cukup mengganggu minda antara kami. Akhirnya kami dapat berterus terang dengan nyata. Sesudah berbulan kami pura-pura 'berkawan', akhirnya dia meluahkan apa yang saya harapkan...atau mungkin lebih tepat lagi, apa yang pernah saya harapkan berbulan lalu.

Ya, memang dia menyimpan perasaan pada saya.

Ya, dia juga rasa luarbiasa bila kami bagai dicipta dengan rasa, jiwa, minda yang sama.

Ya, ucapan selamat tinggal sebelum dia berangkat ke luar negar sememangnya cukup sukar.

Dan ya, bukan saya seorang yang mengalirkan airmata.


Cukup sukar untuk saya membalas emelnya. Kalaulah semuanya dinyatakan sebelum dia berlepas...mungkin keadaan berbeza. Sekarang, selepas payah saya memujuk hati untuk menutup pintu kesal, selepas puas saya memupuk harapan cinta di masa hadapan, dia datang dan kusutkan semuanya begitu saja. Siapa jangka dia akan buat pengakuan sebegitu? Bagai badai dia datang menderu tanpa sebarang tanda.

Saya tahu dia sedikit kesal bila saya jujur menyatakan yang saya tak mungkin dapat lalui satu lagi kekecewaan serius. Saya masih amatur dalam soal hati, dan renyuknya susah nak saya luruskan. Hati saya bak hati dalam lagu cinta. Hempas ke batu, pecah seribu. Nak membilang, mencantum semula mungkin makan masa yang cukup lama. Dan kalau ada serpihan yang hilang?

Saya bukan jual mahal. Saya sedar siapa diri saya. Firhan satu-satunya lelaki yang saya rasakan menilai diri saya seadanya saya, bukan pada rambut saya yang kerintingnya kusut, atau rupa yang tak seberapa. Dia memang macam harta berharga - susah nak cari di dunia. Tapi kebarangkalian untuk hubungan ini berjaya macam satu dalam sejuta.

Kalaupun saya beriya menyambut dia, so? What's next? Mengiyakan kata hati bukan bermakna kami rasmi menadah cinta. Saya mengaku, dia mengaku. Maka? Dimana nak dicampakkan bekas kekasihnya yang setiap hari gigih menelefon dari Malaysia, menuntut cinta yang terhenti? Kalaupun hari ini kata ya, hari esok? Dua tahun adalah jangkamasa yang cukup lama. Dua tahun dapat merubah jiwa. Dua tahun dapat meruntuh bahagia yang kita idamkan dengan secengkam takdir dengan begitu sahaja.

Susah nak saya bentangkan satu persatu. Cukuplah saya katakan yang faktor jarak, keluarga, persepsi orang sekeliling dan cita-cita menghalang segalanya dari bercambah.

Saya yakin akan datang seorang yang bakal bawa sakti dalam hidupnya. Wanita itu pasti lebih cantik, lebih manis, lebih jelita dari saya. Lebih dari itu, saya doakan yang dia punya hati yang lebih baik dari saya. Saya doakan agar mereka saling memahami dan menerima diri masing-masing. Lebih dari apa yang saya dan Firhan kongsi bersama.

Pada masa itu Firhan akan gembira. Hatinya akan cukup sembuh untuk meneroka hidup dengan kekasihnya. Dia akan, dengan relanya, lupakan saya.

And when the time comes, I'll be okay.
It might take some time
It might take forever
But I'll survive this.

This too shall pass.

Insyaallah.

'

2 comments:

mas said...

ko tanak tulis buku ke ely? nway bahasa yg sungguh indah.... dan saya faham isi hati anda... "kalaulah hanya ada aku dan dia"... tp thats not life then. hehe.

tp aku suka la hempas ke batu pecah seribu... i feel u babe i feel u!!!!

azyze gomez said...

tah.
tak paham aku cinta2 ni.
bila dia datang macam trak, sampai flat aku dilanggar.
tapi lepas tu taknak bagi aku claim insurans (aka ending yang sungguh sakit hati)

kan?

btw
aku tak layak tulis novel la. novel sendiri2 ade la. nak bukukan?
kang kena gelak je hehe