Pages

You're Nobody Till Somebody Loves You

Monday, November 13, 2006

Pointless Nostalgic.
Tajuk album Jamie cullum yang kedua (jika tidak silap saya) sebelum beliau disambar syarikat muzik gergasi.
Akhirnya saya dapat album tersebut setelah berbulan-bulan melayari eBay dan Amazon. Nasib baik saya tak meneruskan hajat saya untuk membida di internet. Alhamdulillah, saya berjaya memiliki album tersebut dari Rock Corner di MidValley pada lebih kurang 60 ringgit.

Gembira. Gembira tak terkira bila saya dapat dengar album ini sambil menaip di pejabat. Hidangan Jamie lebih kurang sama dengan Twentysomething, tapi, mengetahui bahawa album ini datang sebelum Twentysomething membuktikan Jamie tidak merubah hala tuju muzik beliau semata untuk mendapat tempat di rak muzik negara luar UK.

Oh, bagaimana mungkin saya tidak jatuh cinta pada Jamie. Kalau ikut kata orang dulu-dulu, hati berbunga.
Ya, berbunga. Tenang. Makin tidak sabar saya untuk memuat turun semuanya di iPod. Oh tak sabar (Saya memang macam budak-budak sedikit bila datang bab muzik. Glee.)

Misi seterusnya adalah untuk mencari album Jamie Cullum Trio. Ini album rakaman pertama beliau, yang dihasilkan dan dipasarkan sendiri oleh Jamie. Hanya ada 500 keping dalam dunia. Di eBay, harganya mencecah 632 Pound Sterling. Tukarkan ke mata wang Malaysia = RM4424.00. Saya memang kurang siuman atau sudah buang tebiat nak mampus kalau saya sanggup beli album tersebut pada harga yang tak masuk akal itu. Ah, mungkin bila saya sudah kaya raya dan punya wang melimpah. Ya, mungkin.

Tapi sementara saya belum kaya ni, mahukah sesiapa yang punya mp3 atau CD copy Jamie cullum Trio menghantarkannya kepada saya?

Sementara kita masih di topik CD, ada sesiapa yang tahu di mana saya dapat beli album Stacey Kent, The Boy Next Door? Saya dah puas cari di merata tempat, tapi yang ada pun album lain. Susah benar nak dapatkan album tersebut. Saya mula-mula dengar dulu pun dari CD milik Hamdan ketika bertugas di MAC. Malangnya Hamdan dah lama meninggalkan MAC (berpindah ke London untuk berkerja di sebuah graphic house, dan kemudian pulang ke Malaysia tapi saya tak tahu di mana). Kalaupun saya tahu, takkanlah saya mahu hubungi Hamdan semata untuk meminjam (atau membeli) album tersebut dari dia? Keji sungguh.

Jadi kesimpulannya, kalau anda jumpa album tersebut, tolonglah beritahu saya atau belikan dulu untuk saya.
Tapi kalau harganya sampai ribu-ribu tu...er...paham paham sajalah..
Hehe.

No comments: