Pages

Mai

Tuesday, August 15, 2006

Maisarah tunduk mencangkung di tepi sungai. Kepalanya sekejap memandang arus deras sungai, sekejap menjenguk ke hulu.

"Ada bang?" tanyanya.

Saya dan Kasim berhenti menarik jala. "Macam tak ada," mulut Kasim mungil mengunyah sirih.

Kasim dah terbiasa mengunyah sirih. Dari zaman berlari togel pun dia dah pandai kunyah tembakau (bermula dari terjumpa tembakau neneknya). Sebab hendak Kasim berhenti mengunyah tembakau, bapanya memaksa Kasim mengunyah sirih. Walaupun usia Kasim baru 25 tahun, dia dianggap veteran dalam adat mengunyah sirih. Kalau ada orang nak bertunang, Kasimlah yang dicari. Kalau nak buatsirih junjung, rumah Kasimlah yang dituju. Pokok sirih berlingkar di depan rumah Kasim, hingga dia digelar Kasim Sirih.

Maisarah menggeleng kepala. Susah. Susah kalau tak jumpa. Mungkin bapa Maisarah tak bagi balik rumah. Jenuh pulak kalau Maisarah kena tidur di pangkin tepi dusun durian sebelah rumahnya. Semenjak dia pergi melihat pameran hantu di Muzium Shah Alam tempohari, dia sudah tidak sanggup untuk keluar di waktu malam.

"Aduih..macamana ni bang? Mati la aku kalau tak ada. Hang cuba kaut elok-elok, kot-kot ada tang dasaq tu!"

"Sabaq la Mai. Bukan senang nak cari macam ni. Kalau hang tak mau tunggu, hang mai kaut dengan tangan hang la," saya menjeling. Bukan mudah nak berdiri dalam air deras. Silap tahun mungkin saya tergolek dibawa arus.

Muka Maisarah masam mencuka. "Hang ni ikhlas ka dak?"

Belum sempa saya membuka mulut membalas, Kasim menahan dengan tangan di bahu saya. Dia menggeleng. Mungkin tahu yang rengek Maisarah tak berbaloi dilayan. Lagi dilayan lagi memekak.

Maisarah sudahpun bangun. Dia mula berjalan mundar mandir di tebing sungai. Mulutnya terkumat-kamit. Mengumpat la tu. Tak pun, risau memikirkan nasibnya.

Kasim sudah mula naik bosan menjala. "Ni, hang nak buat lagi ka? Aku dah malas nak buat dah. Dah hilang kot," usul Kasim pada saya.

Saya mengelap peluh yang dari tadi turun mencucur di dahi. Baju dan seluar dah basah. Badan dah berbau hanyir ikan. " Aku okay saja. Jomlah, lepaih maghrib depa dah bukak durian. Dah tak sabaq nak makan durian Balik Pulau ni!"

Saya dan Kasim melangkah memanjat tebing sungai. Jala kosong kami tarik bersama.

"Woi, pasai pa hangpa naik ni? Dah jumpa ka belum?" Maisarah dah menggelabah.

"Tak jumpa la Mai. Kami nak balik dah. Sat lagi dah gelap. Mai balik. Kita bagitau la kat bapak hang bagi jatuh dalam sungai," ujar Kasim sambil mengutip ikan yang diikat di tepi rumpun buluh. Kalau tidak diganggu Maisarah, tentu banyak ikan yang dapat dijala Kasim.

"Yana, hang biaq betui. Tolong la Mai..." mukanya sudah mula pucat.

Saya tak pandang mukanya. "Sorry la Mai, penat la."

Saya dan Kasim terus berjalan pulang. Dari belakang Mai tak berhenti mengomel. Kami malas nak melayan. Sudah pakai, pandailah menjaganya. Kali ini biar Mai tahu rasanya menggalas tanggungjawab keatas apa yang dilakukannya. Dah selalu sangat dia terlepas dari dimarahi. Kalau ada pokok di laman yang layu tak bersiram, Kasim dimarahi (berkebun kerja orang lalaki, kata Mai). Bila set pinggan kesayangan emaknya dipecahkan tanpa sengaja, disalahkan Tompok, kucing siam mereka yang gemuk dan malas bergerak. Selalu kepala Tompok disekeh emak.

Maisarah masih berbunyi di belakang kami. "Tak pa, hangpa takmau tolon aku la ni. Lain kali jangan cari Mai kalau nak mintak tolong." Bunyinya macam merajuk.

Kasim memandang saya. Kening diangkat. "Bukan pernah menolong pun," senyum makin melebar. Biar Mai ketar bila berdepan dengan bapak mereka nanti.

Azan maghrib mula berkumandang. Saya dan Kasim melebarkan langkah, diikuti Maisarah. Yang kian tersedu-sedu.


BERSAMBUNG...

No comments: