Pages

Ragutpaku vs ragutrumput

Friday, April 14, 2006

Ragut paku bibir berdarah tapi cepat kenyang, kata lembu A.
Ragut rumput makannya enak, cuma perlu banyak-banyak, kata Lembu B.

Nak kenyang atau tidak?

Ragut paku makan sikit cepat kenyang, kata Lembu B.
Ragut rumput pun kenyang, lama tak lama bukan soal, kata Lembu B.
Ragut paku mudah, banyak berkarat dibuang tuan punya bangsal, kata Lembu A.
Ragut rumput semuanya percuma pemberian tuhan, ada dimana-mana, kaat Lembu B.
Ya, tapi ragut paku kalau di gurun juga mudah dibeli kekal selari. Ada rumputkah di gurun, kata Lembu A.

Lembu B terdiam. dia pandang Lembu A dan kata Betul katamu. Ragut paku mana-mana tempat pun boleh. Tapi tak apalah. Biar aku ragut rumput sahaja.

Lembu A jatuh tersembam. Mata berpinau.
Lembu B pandang Lembu A dengan muka toya.
Ragut paku meamng mudah dimana-mana. Tapi aku taknak bontot aku koyak macam kau sebenarnya.







Ahah.


Jangan pelik jika saya mula menulis prosa-prosa yang tak masuk akal. Sebenarnya memang dah lama saya menulis. cuma perjalanan saya terhenti lewat Degree dahulu. Tiada cabang nak disemaikan. Jika dulu ke rumah pena sekali sekala, sekarang ni sekali pun susah, apatah sekala. Dulu rumah pena hanya rumah pena dengan laman besar banyak tupai, sekarang rumah pena adalah rumah pena yang tepinya ada kedai makan bertupaitupai. (Walhal tupai pun susah nak nampak sekarang.)

Tempohari saya berkesempatan ke Wayang Kata di Labodega. Seronok dapat jumpa orang otak senget yang tak malu luah cerita. Sebenarnya mereka taklah sesenget saya. cuma biasanya penulis menang wajib ada yang senget sedikit. Tambahan mereka yang baca sajak penuh emosi sampai badan hampir tumbang ke bumi.

Jadi, acara di La Bodega tempohari membuka hati saya untuk kembali berprosa. Berpuisi. Apa-apalah. Perasaan yang tak terhingga membaca puisi (atau crap, terpulang) di hadapan orang memang seronok. Berdebar, berpeluh, tapi seronok. Walaupun yang mendengar cuma beberapa kerat, dan walaupun kehebatan bahan bacaan saya dibandingkan dengan bahan jemputan-jemputan hari itu ibarat pasar ChowKit berlecak dengan Hyprmarket Giant yang ada aircond dan lantai kilat.

Insyaallah saya ingin ligat kembali menulis. Ahad lalu saya terjumpa Ghayatri, rakan sekelas ketika sekolah menengah dahulu. Dah tak tulis novel lagi? Tanyanya. Gila, dia masih ingat. Dulu Ghayatri menjadi pembaca novel-novel saya. Alah, biasalah, zaman itu Ahadiat Akashah ikon buku-buku bacaan remaja. Jangan tak tahu, saya berjaya menyiapkan 5 novel sepanjang zaman sekolah menengah saya. Semuanya kini saya simpan dalam kotak Double A dibawah katil. Siapalah nak publish novel-novel berontak seperti itu... orang sekarang lebih layan novel jiwang yang ceritanya pasal orang bercinta putus cinta jumpa cinta hilang cinta rajuk cinta yang penulisnya bernama Natashya, Liana, Syazlina, Afira, Shahira dan apa-apa nama yang bunyinya agak gatal. (Maaf tuan punya milik nama).

Adakah saya akan pulang ke arena lama? Menulis novel mungkin tidak. Hidup terlalu kompleks untuk saya ciptakan watak baru. Lagipun sebetulnya saya teramat malas untuk menulis secara manual. Novel inggeris ala2 Harlequin yang saya mulakan beberapa bulan lalu (ditaip di komputer ni) masih di Chapter 3. Ah, tak siap-siap pun tak apa. Saya punya pasport Writers Block. Heh.

p/s: novel inggeris saya tidak punya adegan lucah buka baju pegang itu ini masuk itu ini jerit itu ini. ini bukan parody Cinta 100 ela. Terima kasih.

No comments: