Pages

Bicara cantik

Tuesday, February 14, 2006

"aku bukan gay. Aku trapped in this male body with this male thing hanging betweenmy legs..."

Aku idamkan rupa Halle Berry, kata seorang rakan.

Itu agak mustahil, balas saya.

Ah, kau dengki kan? katanya sambil mata menjeling pantas.

Bukan niat saya mengecil-ngecilkan mimpi kawan itu. Tapi memang dia tidak ada potensi langsung. Bukan kerana dia tidak cantik. Dia cantik. Cuma definasi cantik itu tak sepadan dengan Halle Berry.

Kulitnya putih melepak. Hidung penyek sedikit. Rambut dahulu sedikit ikal, sekarang kejung setelah direbonding (ikut gaya terkini, katanya). Bibir nipis. Badan kurus melengkung, tapi lurus tak berlekuk. Tiada payudara sarat.

Dan yang paling penting, dia bukan perempuan. Jalannya bagak, walau berkepit. Kadang-kadang tersadung tumit tinggi sendiri. Punggung boleh tahan, tapi lenggok kadang keterlaluan. Tinggi 6kaki 2 inci, bahu berdepa-depa. Ya, cantik pada saya, tapi tak sepadan dengan gadis Bond yang digilainya.

"Mak sanggup operate, nuks. Biar nampak sama macam dia."

"Banyak yang nak dioperate tu."

"Mak berangan macam dalam extreme makeover tu, nuks. Biar dari atas ke bawah mak tukar."

"Kau tak ada idola lain yang mudah sikit?"

"Ahh.. yang lain tu tak diva. Tetap Halle Berry juga," mulut pantas bicara sambil tangan menekap bedak ke muka.

Terdetik pula di hati saya untuk mengusik.


"Kau tak teringin jadi lelaki balik ke?"

Matanya terjegil. Tersedak. "Choi!!"

Marah betul dia. Nampak macam nak menelan orang. Menelan saya, mungkin. Lengan saya ditolak lembut. Tapi lembut tak lembut, terasa juga sakitnya. Tangan jantan kan..

"Mulut tak insuran punya perempuan! Kau gila?"

"Apa pula gila? Kelengkapan dah ada. Aku dengar kau dulu tak begini. Okaylah, kalau tidak tulen pun, pakai ala lelaki," saya cuba usik soal peribadi. Sebelum ini dia berfikiran terbuka. Tak kisahlah, kami telus antara satu sama lain.

"Aku bukan gay. Aku bernaluri perempuan. Aku trapped in this male body with this male thing hanging between my legs. Aku mahu kandung anak, aku mahu ada suami. Aku mahu jadi seperti wanita. Lembut, berbuah dada, suara halus, badan berbentuk, cantik bergaya. Itu aku yang seharusnya."

"Yang seharusnya adalah apa yang tuhan jadikan kau."

Dia menggetap bibir. "Habis, kau tak pernah inginkan lebih dari rupa kau sekarang? Nuks, kau bukan cantik pun ya. Kalau kita jalan berdua, yang disiulkan aku, bukan kau nuks!"

Ya, memang benar bukan saya yang disiulkan. Saya memang tidak cantik. Badan tak bagai biola. Saya tak melepak seperti dia, tak kurus macam dia, rambut tak lurus (kejung) macam dia, tak banyak koleksi kasut tumit tinggi macam dia, tak banyak kekasih silih berganti macam dia. Quite the opposite, if I may say so. Rasanya tak pernah pun ada lelaki yang bersiul pada saya. Selalunya kawan-kawan saya yang kena ngorat. Ya, kawan-kawan saya semuanya lawa belaka.

"Ingin. Itu semua orang ingin. Aku nak kaki kecik dari saiz 10, aku nak pinggang saiz 27, aku nak hati senang banyak uwang masa lapang. Semua aku nak. Tapi sekadar ingin saja. Bawah pisau bedah tu..belum pernah terlintas lagi."

"Then kita lain, nuk. Sudahlah, malas aku nak cakap dengan kau," dia pantas bangun dari kerusi. Kakinya pantas melangkah keluar dari restoran.

Bila saya keluar, dia berdiri mencebil. Tangannya terpaku mencekak pinggang. "Kalau tak nak temankan mak cari baju, tak apa! Mak boleh cari sendiri!"

Saya senyum. Lengan bajunya saya tarik. "Jomlah, jomlah. Kalah pulak kau nanti kalau baju tak meletop."

Kami keluar masuk dua tiga kedai pakaian. Berhenti di kawasan pakaian dalam, dia sibuk membelek coli dengan alas. Walaupun dia tak pakai semua itu, katanya berangan tak salah.

Ketika kami menuruni escalator, ada mat-mat yang bersidai di tepi balkoni mula mengusik. Mengusik dia, bukan saya. Dia pandang ke arah saya, seperti malu sedikit.

"Nuk, hanjeng ye diorang tu. Buta agaknya tak nampak kau kat tepi aku."

Itu caranya minta maaf. Agaknya mungin rasa statementnya awal tadi melukakan hati saya. Saya senyum sahaja.

"Taklah, kau memang pun jauh lebih cantik dari aku, nuk."

Dan dengan itu sepanjang hari senyumnya melebar.




No comments: